Sejarah Kadet Polis



Bahagian XI akta polis 1967 telah membolehkan penubuhan pasukan kadet polis di mana-mana sahaja di Malaysia sepertimana yang diperintah Yang Amat Berhormat Menteri Dalam Negeri.

Pasukan kadet polis terdiri daripada pegawai kanan PKP, pegawai pangkat rendah PKP dan anggota PKP. Penubuhan kadet polis hanya di jalankan di sekolah menengah sahaja dan boleh disertai oleh pelajar lelaki (PKP lelaki) dan pelajar perempuan (PKP wanita).

Anggota PKP (Anggota dan Pegawai Pangkat Rendah PKP) akan dipilih di kalangan pelajar sekolah menengah. Pegawai-pegawai Kanan PKP pula adalah guru-guru sekolah tersebut (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan).

PKP merupakan satu pertubuhan yang bergabung dengan Polis DiRaja Malaysia ( PDRM ) tetapi anggota-anggotanya bukan Pegawai Polis mengikut takrif yang termaktub dalam Akta Polis 1967. Sokongan kerajaan untuk menubuhkan PKP telah diterima dan dilaksanakan sejak awal tahun 1970-an.

Penubuhan PKP ini telah menghasilkan perhubungan erat antara PDRM dengan para pelajar, guru, pentadbir, sekolah dan ibu bapa mereka selaras dengan aspirasi PDRM: Mesra, Cepat dan Betul.

Pelajar-pelajar didedahkan dengan hal ehwal kepolisian dan justeru itu dapat menyedari tentang tanggungjawab mereka kepada masyarakat untuk menjadi warganegara yang berdisiplin, berguna dan berjasa apabila mereka dewasa kelak.

Matlamat penubuhan PKP adalah untuk membentuk masyarakat khususnya para remaja melalui pelbagai aktiviti bagi meningkatkan disiplin diri, membina semangat kerjasama dan patriotik di samping memberi pendedahan dan kefahaman mengenai tugas-tugas kepolisian dan penguatkuasaan undang-undangnya adalah untuk kepentingan masyarakat.

Memandangkan keberkesanannya, maka PKP telah diperbesarkan kepada 204 platun pada tahun 1992 dan kepada 579 platun pada tahun 1996 di seluruh negara. Ini bertepatan dengan keperluan Kementerian Pendidikan yang berkehendakkan semua pelajar sekolah menjadi ahli unit beruniform. Di negeri Pulau Pinang, sejumlah 30 buah platun telah ditubuhkan sehingga tahun 2000.

0 ulasan:

Catat Ulasan